Tiada bukti anak VIP dan Menteri sertai PLKN - Malaysiakini

26 October 2008

no2umno | Sejak awal lagi, aku tak nampak sebarang bukti yang jelas bahawa anak VIP atau menteri ada menyertai PLKN.


Dan sebagai bukti yang cukup mudah, korang pergi ke tempat menghantar anak anak ke PLKN. Disana korang pandang bentuk dan jenama kenderaan yang kebanyakannya adalah kenderaan kelas pertengahan. Tiada sebarang kenderaan yang mempunyai pemandu khas ataupun kelibat VIP yang datang hantar anak mereka. Tiada kenderaan mahal dan berjenama.

Maka .. boleh di pertahankan bahawa tuduhan ini tiada anak anak VIP dan Menteri sertai PLKN, mungkin benar.

Hari ini JLKN bagi alasan lagi ...

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) hari ini menafikan dakwaan bahawa anak-anak orang kenamaan (VIP) boleh dikecualikan daripada mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pemilihan pelatih-pelatih PLKN dari seluruh negara dilakukan secara rawak dengan menggunakan sistem yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

''Kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengecualikan mana-mana pelatih daripada mengikuti PLKN dan mereka yang telah dipilih perlu menghadirkan diri setelah menerima surat pemberitahuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JLKN di sini hari ini.
Setakat bagi alasan .... buktinya mana? Kita bukan bodoh untuk terima alasan sedemikian sedangkan tiada kenyataan. Berikan senarai penyetaan mereka yang lepas lepas.

Jelaskan .... anak menteri mana dan anak VIP mana yang sertai PLKN?

Islam dan Ketuanan Melayu - Malaysiakini

anakcucunabiadam | Konsep Ketuanan Melayu adalah suatu ungkapan yang diutarakan Dr Mahathir dan dipercayai ia tak pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno sebelum Dr Mahathir. Ringkasnya, 'Ketuanan Melayu' itu satu hubungan yang terikat kuat dengan beliau. Apa-apa yang terjadi selepas artikel ini tersiar, beliau turut terheret sama.

Agar lebih bertanggungjawab, biarlah saya nyatakan di sini bahawa buah fikiran ini saya temui ketika berbual ringkas bersama Dr Muhammad Nur Manuty. Saya rasa, beliau sendiri pun terlupa bahawa saya pernah menelefonnya ketika meminta buah fikirannya mengenai hal ini.

Tambah beliau lagi, Ketuanan Melayu juga tak pernah digemakan pada atau sebelum 13 Mei 1969. Ringkasnya, apa-apa pun, memang Dr Mahathir itulah yang mesti menjawab di dalam http://www.chedet.com sekiranya beliau ingin menbela diri.

Pun begitu, sayugia diingatkan bahawa, apabila kita menyatakan Ketuanan Melayu tidak wujud pada asalnya, itu bukan bererti institusi kesultanan Melayu terbatal dan kedudukan Melayu sebagai tuan, pemilik atau bangsa yang diberikan hak oleh Allah terhadap negara ini akan terbatal. Sama sekali tidak.

Maksud saya, jika Dr Mahathir tidak ditakdirkan sebagai PM dan lafaz Ketuanan Melayu itu tidak keluar, meniti dari bibirnya dalam Perhimpunan Agung Umno dulu, hal Melayu sebagai pemilik atau bangsa yang diberikan hak oleh Allah ke atas negara ini tidak akan pernah terbatal atau hakikat itu tidak akan tercuit walau sedikit pun.

Beliau cuma perkakas, alat untuk diperalatkan untuk mengukuhkan Ketuanan Melayu itu. Dan saya masih ingat bahawa Dr Muhammad Nur Manuty menyebutkan bahawa lafaz itu terlahir dari Perhimpunan Agung Umno pada satu masa lalu kesempatan itu telah diambil oleh kalangan ilmuan, pensyarah, cendekiawan dan sebagainya sebagai satu wacana.

Semua mereka akan mendapat habuannya sesuai dengan niatnya. Jika mereka menulis itu bertujuan membodek Tun Mahathir, maka habuannya hanya Allah yang memutuskannya kelak di akhirat. Tapi, yang masih dapat kita kaji ialah atas dasar dan sebab apakah, maka dengan tiba-tiba, Ketuanan Melayu itu meluncur dari bibir Tun Mahathir?

Hal ini masih kekal sebagai suatu misteri atau bersifat X-Files. Tun Mahathir mempunyai rekod yang buruk dengan istana. Pernah satu ketika, hanya dengan sebab suatu kesilapan seorang raja, maka seluruh institusi kesultanan menanggung akibat dan media-media pun berlumba-lumba merekodkan lalu keterlaluan menghukum kesilapan itu.

Sedangkan, ada bezanya antara manusia dan kemanusiaan, Islam dan Muslim. Dan begitu juga seorang raja dengan institusi kerajaannya atau seorang sultan dengan kesultanannya. Mengapakah melalui kesilapan seorang sultan, maka kesultanan menanggung akibat?

Hal ini yang perlu diulas dalam http://www.chedet.com. Atas sebab itulah, kita ada sebab yang kukuh untuk meragui Ketuanan Melayu dalam takrifan Umno kerana lafaz itu lahir dalam Perhimpunan Agung Umno. Samalah juga, rakyat meragui Islam Hadhari lantaran lafaz itu dibidankan dalam 'seminar pemikiran Umno' dan ia bukan didebatkan oleh para golongan cendekiawan di universiti pada asal mula kelahirannya itu.

Ringkasnya, jangan sesekali dianggap bahawa dengan sebab Tun Mahathir yang berawal konsep Ketuanan Melayu itu, maka beliau adalah antara penyelamat Melayu 100 seratus. Sesekali jangan dianggap dan dilihat begitu.

Kita khuatir Ketuanan Melayu itu dihubungkan dengan Umno. Masih selamat lagi jikalau Ketuanan Melayu itu dihubungkan dengan Raja-Raja Melayu. Ini kerana, secara idealnya institusi raja-raja itu dilihat sebagai pelindung agama Islam, walaupun kita tahu bahawa mereka lebih banyak menerajui FAM dan pertandingan bola sepak.

Itu bab lain. Kita melihat dari segi idealnya dan jangan menoleh ke arah realiti lagi. Dan semua hal-hal yang tersebut nanti akan lebih banyak terkait dengan ideal. Dan, hal inilah yang menyebabkan ramai orang tidak bersabar dalam perdebatan.

Maka, untuk akhirnya, izinkan saya jelaskan lagi konsep Ketuanan Melayu di sini, iaitu hal Ketuanan Melayu di Malaysia ini mestilah dihubungkan kepada Raja-Raja Melayu kerana institusi ini dihubungkan sebagai pelindung agama Islam. Itu yang pertama.

Kedua, Ketuanan Melayu itu mestilah dihubungkan dengan Allah s.w.t kerana Dia adalah pemilik bumi bertuah ini. Dan, Dialah yang telah menganugerahkan kepada kita sebidang tanah yang bernama Suvarnabumi, Tanah Melayu, Malaya Merdeka dan Malaysia.

Amalan rahsia nenek moyang bangsa MelayuSekarang kita masuk kepada perbahasan kedua. Kenapakah Tuhan memberikan tanah ini kepada nenek moyang kita yang berbangsa Melayu. Mesti ada sebabnya dan mestilah ada tujuannya. Pasti ada sesuatu amalan rahsia yang dilakukan oleh umat terdahulu sehingga menyebabkan Tuhan mahu sebidang tanah semenanjung ini diberi kepada mereka.

Amalan rahsia itu adalah dakwah. Sebelum kedatangan Islam lagi, sudah timbul anutan, kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa. Kita namakan anutan ini sebagai Tauhid.
Mereka telah lama mengembara dan menjelajah guna menyebarkan fahaman dan agama ini. Boleh jadi, mereka ini adalah keturunan Nabi Ibrahim atau nabi-nabi yang mengajar mereka akan konsep dosa, pahala, syurga, neraka, tiupan sangkakala dan lain-lainnya.

Ini semua istilah yang ada hubungannya dengan hari akhirat. Ketika tibanya Islam, maka tidak pula orang kita menyebut as-Sawab, al-Ajru, al-Jannah (syurga), an-Naar (neraka). Maka, istilah ini kekal sebagai sebutan biasa. Sudah tentu, ada nabi-nabi dan rasul-rasul yang mengajar tentang hal ini. Hanya nabi-nabi dan rasul-rasul yang mendidik umatnya yang berbangsa Melayu berhubung hari kebangkitan, hari kiamat dan akhirat.

Setakat saya faham, polemik dan debat berhubung nabi dan rasul Melayu ini, pernahlah tercetus sekitar 1950-an oleh seorang cendekiawan bernama Sutan Takdir Alisyahbana. Namun, usaha menjejakinya terhenti kerana kita mungkin kekurangan peralatan.

Sekiranya idea tentang nabi dan rasul Melayu itu wujud, maka apa hubungannya terhadap Ketuanan Melayu itu? Hubungan ini berlaku dan terjalin dengan sebab doa dan perjanjian antara nabi, rasul tersebut dengan Tuhan.

Jika, nabi dan rasul itu wujud, maka ada kemungkinankah Sang Gedembai itu merupakan nabi-nabi yang pernah menegur kemungkaran umat Melayu dahulu? Lalu, akibat mereka tidak mengendahkan teguran Nabi Sang Gedembai itu, maka Allah menghukum mereka itu menjadi batu? Maka, teguran Sang Gedembai itu bernilai dakwah adanya.

Jadi, ia bukanlah meriwayatkan kisah dongeng seekor haiwan yang menegur manusia lalu dengan tiba-tiba insan itu berubah jadi batu. Yang memegang watak itu, mesti seseorang yang mencapai darjat makam 'holier than thou' (lebih suci, mulia daripada yang lain).

Sekarang, marilah kita samakan watak nabi dan rasul itu dengan Nabi Ibrahim a.s. Oleh kerana manusia Melayu yang terawal tadi dilantik menjadi nabi, maka suatu hari dia pun berdoa, menyusun perjanjian dengan Allah supaya ada dalam kalangan zuriatnya dilantik sebagai pemimpin pada akhir zaman.

Ketuanan Melayu terkait dengan doa nabi dan dakwahSeperti Nabi Ibrahim juga doa itu dipanjatkan bukan dengan tujuan kemuliaan bangsanya malah bagi tujuan berdakwah ke arah penyembahan Allah, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran.
Menurut riwayat termasyhur, zuriat dan keturunan Nabi Ibrahim itu terpancar kepada dua sahaja, iaitu bangsa Arab dan bangsa Yahudi. Maka, demikian juga nabi Melayu itu. Pada suatu masa, muncul seorang nabi yang lain lagi atau orang-orang suci yang mencapai satu darjat ketinggian, lalu keturunannya dinisbahkan kepada Melayu sehingga ke hari ini.

Maka, dengan sebab doa Nabi Ibrahim tadi, kedua-dua zuriatnya sudah mendapat negara, lalu terbentuk Ketuanan Arab dan Ketuanan Yahudi. Ketuanan Arab itu terpusat di Hijjaz dan Ketuanan Yahudi itu terpusat di Kanaan. Bezanya, Yahudi mendapat Kanaan melalui jalan peperangan. Manakala Arab, melalui Ismail dan Siti Hajar mendapat ketuanan tanpa pertumpahan darah. Kisah ketuanan Arab ini telah disebutkan dalam al-Qur'an.

Lalu, di Alam Melayu ini, hal yang sama berlaku. Golongan Sang Gedembai ini mungkin telah berusaha keras menyampaikan ajaran tauhid kepada kerajaan-kerajaan lama seperti Gangga Negara dan lainnya. Sebahagian mereka ini telah menerima dakwah dan selamat dan sebahagiannya lagi menolak lalu menerima padah dan celaka.

Syahadan, hikayat dan riwayat inilah yang diperturunkan kepada kita daripada zaman ke zaman, generasi ke generasi sehingga wujud tokok tambah yang tidak masuk akal, lalu ia menjadi suatu kisah dongeng yang mengerikan.

Arakian, demikian serba sedikit kisah berhubung asal-usul Ketuanan Melayu itu. Ia mesti dipautkan kepada kekuatan dakwah Islam dan bukanlah sesuatu yang didengungkan serta digemakan dengan tujuan mengukuhkan legasi Umno, khususnya merujuk pancaran idea dan faham Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Akhirnya polemik Ketuanan Melayu meletus kembali menjadi topik perbincangan dalam kalangan cendekiawan Melayu. Ketuanan Melayu adalah suatu konsep yang tidak pernah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demikian antara hujah pihak-pihak yang tidak pernah bersetuju dengan Ketuanan Melayu itu. Bagi mereka, kalau hal itu tidak pernah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan, maka kenapakah hal itu perlu diulang-ulang?

Antara hujah lain, Ketuanan Melayu ditolak lantaran ramai pihak menganggap konsep itu sebagai menunjukkan bangsa bukan Melayu sebagai hamba. Perbahasan mengenai hal ini agak panjang, sulit dan mendalam juga.

Oleh itu, kita akan debatkan hal ini dalam bahagian yang lain pula. Apa yang mustahak di sini ialah kupasan dan hal membedah sedalam-dalamnya hubungan Ketuanan Melayu itu dengan pencipta bangsa Melayu, iaitu Allah s.w.t.

Apabila kita akui hal ini, maka kita boleh mempertalikan hubungan Allah yang mahukan Islam dibawa dan didakwahkan oleh bangsa Melayu ke atas bangsa bukan Melayu dalam Malaysia hari ini. Masyarakat majmuk hari ini adalah suatu ruang untuk bangsa Melayu berdakwah kepada bukan Melayu sebenarnya.

Tetapi, sejauhmana bangsa Melayu berdakwah kepada bukan Melayu di negara ini, maka hal itu termasuk dalam bab lain pula. Bayangkan, apa akan jadi jika negara ini bukannya dimiliki oleh bangsa Melayu? Mungkin, dengan mudahnya dakwah akan tertolak.

Akan tetapi, Ketuanan Melayu yang dimahukan oleh Umno bukannya didasari oleh citra dan semangat dakwah, melainkan perkongsian kuasa dan selebihnya pembahagian kek ekonomi yang diselewengkan sehingga menjatuhkan maruah bangsa sendiri.

Ketuanan Melayu dan Negara IslamApakah persamaan antara konsep Ketuanan Melayu dan konsep Negara Islam? Kalau hal Ketuanan Melayu tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, maka demikianlah hal Negara Islam yang tidak disebut di dalam al-Qur'an.

Apakah ketidakwujudan Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negara Islam yang tiada di dalam al-Qur'an itu melambangkan kedua-dua konsep ini tidak wujud sebagai suatu hal yang boleh dibincangkan?

Sama-sekali tidak! Malah, selagimana negara ini dipelihara oleh orang Melayu dan orang Islam, maka konsep ini selalu kekal relevan untuk dibahaskan. Istilah, ungkapan itu boleh diwujudkan selagi mana manusia itu mahukan ia wujud.

Maka, Ketuanan Melayu dan Negara Islam tidak disuratkan, tetapi disiratkan. Ia bukanlah tersurat tapi tersirat. Pun begitu kedua-dua kalimat itu sentiasa berdengung. Dan sebarang usaha untuk membuangnya tidak akan pernah berjaya kerana orang Melayu dan muslimin di negara ini telah diamanahkan oleh Allah untuk memimpin negara ini.

Islam perlukan sesuatu bangsa untuk meneguhkanDalam sejarah, Islam diletakkan di atas pundak kaum Arab sebagai bangsa pertama untuk meneguhkan ajaran Tauhid itu. Dan seterusnya ia meniti di atas batang tubuh kaum Parsi, bangsa Kurdish oleh Salahudin al-Ayyubi, bangsa Turki dan lainnya sehinggalah ia jatuh ke atas bangsa Melayu di Kepulauan Melayu atau rantau Nusantara ini.

Ini suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Firman Tuhan:-
"Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya." (Al-A'raaf: 69)

Di dalam ayat di atas, Tuhan telah meletakkan ajaran Tauhid ke atas kaum Nabi Nuh dan dengan itu percubaan itu, proses menegakkan khilafah (ketuanan) ke atas kaum Nabi Nuh pun telah bermula. Mereka menolak lalu tercabutlah akar khilafah daripada mereka.

"Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum A'ad dan ditempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi". (Al-A'raaf: 74)

Ketuanan khalifah itu cuba dipahatkan ke atas bangsa A'ad. Mereka membina peradaban, ketamadunan yang tinggi seperti yang disebutkan di atas. Dan khalifah telah dipesan agar tidak melakukan kerosakan. Namun, kerosakan tetap berlaku. Dan percubaan meletakkan ketuanan khalifah itu telah pun tamat tempohnya.

"Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi bagi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, agar Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan. (Yunus: 14)

Kini, tibalah giliran umat Nabi Muhammad s.a.w pula untuk diberikan amanah, tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah itu bagi menggantikan kaum yang telah dibinasakan itu. Dan kini, umat baginda sedang dipantau oleh Allah dengan tujuan yang sama, iaitu Allah ingin melihat sejauhmana kita menggunakan khalifah ketuanan itu bertujuan meneguhkan ajaranNya. Maka, hal 'Ketuanan' itu terkait langsung dengan 'Ketuhanan'.

Ketuanan jatuh di China dan IndiaPenjelasan seperti inilah yang menyebabkan kita sedar bahawa kenapa Institusi Raja-Raja Melayu masih wujud dan kekal berbanding Dinasti Maharaja India dan Dinasti Maharaja China telah tumbang. Semua ini terkait dengan ketuanan atau khilafah itu.

Islam masuk ke India, tapi tidak lama dalam bentuk Ketuanan, lalu sistem maharaja India telah roboh. Sebenarnya, rajanya masih ada, tetapi sistem itu sudah tenggelam dan tidak banyak mempengaruhi keputusan melibatkan dasar negara.

Islam pernah masuk ke China. Tapi, yang terkenal cuma Laksamana Cheng Ho dan sosok itu bukanlah keturunan diraja. Akhirnya, dinasti pemerintahan beraja itu berakhir dan tumbang. Setelah gagal di India dan China, ketuanan itu mengalir ke Nusantara.

Tapi, Islam apabila masuk ke Kepulauan Melayu, ia meresap ke dinding istana dan Tanah Melayu terus berubah wajah, rupa parasnya sekelip mata, tanpa pertumpahan darah.
Sebab itulah desakan bukan Melayu agar kuasa istana dirobohkan di negara ini tak boleh dilayan. Ini kerana, Islam cuba memasuki wilayah mereka tetapi mereka menolaknya dan ketuanan mereka terhapus. Lalu, sebahagian mereka dikirim ke negara kita kerana Tuhan ingin memberi peluang kedua kepada mereka untuk mengenali Islam di sini.

Cabaran Islam di Indonesia lebih dahsyat. Ketuanan dan institusi raja-raja berkubur terus kecuali di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY). Jadi, kenapakah 'ketuanan' dalam bentuk institusi raja-raja Melayu di Malaysia terselamat?

Semua itu berbalik kepada Perlembagaan Persekutuan di Malaysia yang mana sirah telah membuktikan kebijaksanaan nenek moyang kita dahulu menggunakan ungkapan 'bangsa' Islam melawan 'bangsa' kafir. Itu ungkapan Tok Janggut, dan lain-lain pejuang.

Warisan perjuangan nenek moyang kita yang panjang inilah antara penyebab kenapakah orang-orang tua Melayu bijaksana dahulu telah digerakkan hati mereka untuk menyusun ayat di dalam perlembagaan bahawa Melayu itu berugama Islam dan raja-raja Melayu itu bertindak sebagai watak pemelihara agama.

Kita menulis begini supaya orang-orang Melayu Umno lekas-lekas sedar diri bahawa hal Ketuanan Melayu itu menjadi satu ungkapan yang istimewa bukanlah kerana kemelayuan mereka. Tapi, kerana mereka itu lemah-lembut, berakhlak mulia dan punya sifat menjaga agama Islam ini bukan hanya dalam bentuk amalan peribadi, malah bersifat dakwah.

Sekali gus, mudah-mudahan Umno yang menyebutkan Ketuanan Melayu itu cepat-cepat sedar bahawa yang disebut dalam perlembagaan itu cuma Melayu sebagai beragama dan Raja-Raja sebagai pelindung Islam.

Dan Tuhan tidak menggerakkan hati mereka untuk menamakan Umno sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan melindung Islam di dalam perlembagaan. Syahadan, Umno telah diberikan peluang guna melindungi Islam selama 62 tahun belakangan ini.

Maka, Umno juga akan menerima nasib-nasib seperti kaum A'ad, Tsamud dan digantikan dengan parti-parti lain yang bakal dipantau oleh Allah juga untuk memperjuangkan Islam di negara ini. Umno bukan parti keramat! Sudah tentu Umno boleh direhatkan.

Ayah Pin Turun ke bumi untuk Pemilihan UMNO? - Malaysiakini

Akhbar KOSMO melapurkan Kelibat Ayah Pin di KL?

Fuzail | Sekitar tahun 1998, saya bertemu sekumpulan Melayu yang bercerita tentang keajaiban seorang manusia dari Trengganu dan mengenai Rijal alghaib (Lelaki Ghaib). Saya mengenal salah seorang dari mereka melalui kawan-kawan dalam Pemuda UMNO masa itu dan individu ini pernah menjadi rakan niaga kepada Zahid Hamidi (seperti dakwaan dialah).

Dalam satu pertemuan selepas maghrib di Masjid Bangsar, seramai lima orang ahli kumpulan ini bercerita kehebatan masing-masing kononnya diberikan 'kuasa' dalam melakukan beberapa perkara, seperti 'time machine' untuk kembali ke mana-mana zaman. Ada yang boleh ke mana-mana dengan sekelip mata. Ada yang boleh mengetahui gerak hati seseorang. Ada yang boleh buat duit dan mengambil duit dari ATM tanpa akaun bank! Bermacam lagi.

Antara ahli kumpulan ini pernah menjadi orang besar sebuah gergasi telekomunikasi. Mereka semua tidak bekerja kerana hanya bekerja terus dibawah Allah! MasyaAllah!

Sewaktu berbual itu, salah seorang mereka berkata,"Ada Rijal Al Ghaib hadir bersama kita!"

Dia pun bercakap sesuatu kepada yang ghaib itu dan 'menterjemah' kembali kepada saya setiap soalan dari Rijal Al Ghaib.....naik meremang bulu roma. Allahualam. Menurut Rijal Al ghaib yang hadir itu, salasilah keturunan saya dari Shaikh Sayyid 'Abd al-Qadir al-Jilani. MasyaAllah!

Ketika itu saya tidak terdengar pun mengenai Ayah Pin. Teringat yang salah seorang dari mereka pernah memberikan telefon untuk bercakap dengan seorang 'tukang kayu' dari Trengganu. Tukang kayu yang hebat kerana pernah sendiri pergi ke langit sana.

Saya membuat anggapan kemudiannya, setelah kisah Ayah Pin menjadi hangat selepas tahun 2000, mungkin itu Ayah Pin, hanya Allah yang mengetahui kerana saya sudah terputus hubungan dengan kumpulan ini sebaik berhijrah ke UAE.

Saya akan ceritakan pengalaman hampir setahun dengan kumpulan yang semua ahlinya mahu jadi Rijal Al Ghaib ini. Malah ada membantu mereka berniaga dengan memberi maklumat mengenai dunia IT.

Kini Ayah Pin dikatakan muncul kembali, apakah kena mengenai dengan pemilihan hebat dalam UMNO? Setahu saya, berkenalan dengan kumpulan tersebut, mereka semua adalah ahli UMNO yang setia dan percaya Dr. Mahathir itu diterima oleh kerajaan langit, manakala TG Nik Aziz dikatakan ditolak oleh kerajaan langit!

Video dokumentari Ayah Pin.

KUALA LUMPUR - "Ketika itu saya lihat kira-kira 60 lelaki berpakaian serba hitam mengiringi seorang lelaki yang memakai topi berjalan sambil tunduk.
Mereka dilihat memasuki tiga buah bilik di sebuah premis karaoke di ibu negara dan tidak membenarkan sesiapa masuk serta menampal kata-kata aluan meraikan kedatangan pemimpin 'Kerajaan Langit'.

Demikian cerita seorang lelaki yang mendakwa menyaksikan sendiri kemunculan semula seorang lelaki ala Ayah Pin berdekatan tempat kerjanya di ibu negara kira-kira sebulan lalu.
enurut lelaki yang ingin dikenali sebagai Shah, 40-an, ketika itu, dia yang sedang bertugas ternampak kelibat seorang lelaki yang dikelilingi oleh puluhan pemuda pelbagai kaum pada 24 September kira-kira pukul 11 malam.
Mereka terus memasuki premis karaoke tersebut dan menempah bilik yang dikhaskan untuk kumpulan mereka sahaja tetapi apa yang mereka lakukan di dalam bilik itu saya tidak tahu.
Kira-kira tiga jam selepas itu, mereka keluar dan saya yang tidak berpuas hati telah pergi ke dalam bilik itu dan melihat banyak botol arak bersepah-sepah,'' katanya di sini semalam.
ambahnya, dia yang pada mulanya tidak mengetahui mereka merupakan pengikut kumpulan ajaran sesat itu sehinggalah dia ternampak kata-kata aluan yang ditampal pada dinding di premis yang sama.
Menurut Shah, antara kata-kata itu termasuk 'Selamat ulang tahun God grandfather yang ke-4... Selamat sejahtera dan gilang gemilang dari Kawalan Bumi dan Kerajaan Langit'.
Huruf-huruf itu ditempa dengan gabus dan ditampal pada sekeping papan sebelum dilekatkan pada dinding premis karaoke tersebut,'' katanya.
Ujar Shah, melalui pemerhatiannya, kebanyakan lelaki yang menyertai kumpulan itu datangnya dari pinggir ibu negara terdiri daripada Melayu dan India.