"Berani Berubah atau Berani Main Kotor?"

21 October 2008

Jelas sekali strategi Datuk Mukhriz Mahathir cukup berhasil mengejutkan semua pemerhati politik Pemuda UMNO. Dengan 40 pencalonan dalam tangan, Mukhriz sudah layak bertanding di Perhimpunan bulan Mac kelak, dan mendahului Khairy Jamaluddin serta Dato' Seri Khir Toyo. Tetapi strategi membuahkan hasil ini perlu dikaji sedalam-dalamnya untuk memastikan sama ada ianya berketepatan dengan slogan Berani Berubah yang dibawa Mukhriz.

Tanya sahaja mana-mana 'orang dalam' Pemuda, semua akan berkata bahawa taktik Mukhriz yang selama ini dilihat 'underdog' adalah untuk menabur wang terus ke perwakilan di setiap bahagian. Sudah pasti ketiga-tiga calon utama masih menggunakan politik wang untuk meraih undi; siapa pun tidak akan percaya jika kami katakan bahawa Mukhriz sahaja yang membawa beg berisi kepala agung. Ternyata realiti politik UMNO masih di takuk lama.

Tetapi politik kepala agung pun ada etika dan hadnya yang lazim. Mukhriz yang langsung mendampingi para perwakilan ternyata tidak menghormati adat Pemuda kerana tidak melalui Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Bahagian. Apa yang terjadi di Bahagian seperti Rasah dan Kota Melaka apabila Ketua Pemuda atau calon Ketua Pemuda Bahagian masing-masing – Helmy dan Razak – dikejutkan dengan suara perwakilan yang berlawanan dengan suara Ketua Pemuda Bahagian. Memang diakui, suara akar umbi itu wajar kuat dan berdikari dari pemimpin atasan bahagian, tetapi bukankah kita orang Melayu masuk rumah orang bersalaman dengan ketua rumah di muka pintu? Adakah wajar untuk Mukhriz dan konco-konconya memecahkan tingkap, masuk ke rumah orang lantas memujuk anak untuk membelot bapa sendiri semata-mata untuk wang saku?

Bukan setakat itu sahaja, kumpulan Mukhriz juga dilihat tidak malu merasuah perwakilan bahagian sejurus sebelum, dan sewaktu mesyuarat dilangsungkan! Dalam satu kes, seramai 200 perwakilan diberi sampul siap dengan kad raya dari Mukhriz bersertakan RM1000 setiap satunya! Begitu gahnya taktik Mukhriz, umpama pantun hilang pembayang 2 baris pertama atau silat yang tiada langkah bunganya. Dan kini sesudah Mukhriz mencapai 38 pencalonan cukup bertanding di Mac, sudah pasti dialah yang akan beria-ia mengecam politik wang dan akan cuba sedaya-upaya untuk memastikan sama ada orang-orang Khairy atau Khir tertangkap BPR. Walhal dialah kepala rasuah yang utama dalam pemilihan ini!

Akhirnya yang membawa kekesalan paling besar bagi kami adalah ketidakselarian slogan perjuangan Mukhriz "Berani Berubah" dengan tingkah lakunya yang sebenar. Sudah jelas sekali bahawa slogan "Berani Berubah" itu sekadar pengabur mata dan tidak membawa apa-apa erti kepada perjuangan

Mukhriz, kerana yang sebenarnya berlaku adalah suatu strategi politikus yang menghalalkan apa kaedah pun untuk meraih momentum dalam agendanya berkuasa. Apabila diwawancara di Parlimen tempoh hari, Mukhriz tersenyum lebar dan angkuh kononnya dialah ejen perubahan yang dimahukan akar umbi. Namun, ramai yang mengetahui perkara sebenar: kedudukan pertama Mukrhiz dalam proses pencalonan tidak ada langsung kena mengena dengan agenda pembaharuan.

Jikapun ada agenda pembaharuan yang dibawanya, Mukhriz mengakui sendiri dalam wawancara itu bahawa agenda sebenarnya agenda pandang ke belakang, yakni agenda bapanya Tun Dr Mahathir. Semestinya ramai dalam UMNO masih menyanjungi Mahathir dan jasanya pada UMNO, tetapi walau apapun pendapat anda mengenai baik buruk Mahathir, Mukhriz kelihatan tidak langsung mempunyai agenda atau kepercayaan sendiri.Sebusuk-busuk Khairy pun – dia mungkin sombong, dibantu Pak Lah etc. – tetapi siapa pun tidak akan tergamak menuduh Khairy menjadi boneka Pak Lah. Khairy perlu banyak berubah, tetapi dia jelas berkapasiti untuk bermuhasabah diri dan mencari ruangnya sendiri setelah kini tidak lagi boleh dibantu bapa mertuanya. Kapasiti berdikari ini pada kami merupakan elemen PALING penting dalam pengisian perjuangan sayap Pemuda UMNO. Jika Ketua Pemuda mengikut telunjuk orang lain, tutup kedai sahaja lah!

Maka para perwakilan bulan Mac nanti wajar menyelidik habis-habisan baik buruk setiap calon yang layak bertanding nanti. Sentimen sememangnya pro-Mukhriz sekarang ini, tetapi sentimen itu suatu fenomena yang boleh cepat berubah dari masa ke semasa. Yang kekal adalah pengisian perjuangan – bukan slogan, tetapi pengisian! Dan kajilah kita bersama-sama mana satu individu yang benar-benar terbaik untuk memimpin pergerakan Pemuda – dari segi idea, perwatakan dan potensi meraih kembali undi muda.

0 Comments: