Laporan Polis Dibuat Bagi Desak Kertas Siasatan Kes Pembunuhan Altantuya Dibuka Semula !!

21 October 2008

Pahangdaily | KUALA LUMPUR - Pemimpin kanan AMK Parti Keadilan Rakyat (PKR) pusat, Saudara Badrul Hisham Shaharin hari ini mengetuai sekumpulan lima orang dari "Sekretariat Anak Muda Malaysia" (SAMM) membuat aduan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Badrul yang menjadi jurucakap bagi kumpulan itu berkata mereka meminta polis membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan wanita Mongolia itu dan menyiasat dakwaan mereka bahawa Najib menyalahguna kuasa dan kedudukannya dalam kes berkenaan. Najib, yang menjadi sasaran pelbagai tuduhan sejak muncul sebagai calon tunggal jawatan presiden Umno, sebelum ini telah menafikan beliau mempunyai apa-apa hubungan dengan wanita tersebut.

Kumpulan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira 1.30 tengah hari. Kumpulan itu juga mendakwa mereka menyerahkan kepada polis dokumen 21 muka surat bagi menyokong dakwaan bahawa Najib terlibat dalam rasuah pembelian kelengkapan tentera. "Kami meminta polis menyiasat penglibatan Najib dalam pembelian dan perolehan Eurocopter semasa menjadi Menteri Pertahanan yang dilihat banyak wang kerajaan dilaburkan," katanya. Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) telah menyiasat pembelian helikopter buatan Perancis-Jerman itu untuk menggantikan helikopter Sikorsky berusia lebih 30 tahun yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia, berikutan pelbagai tuduhan kononnya berlaku rasuah.

Pelbagai pihak, dalam masa yang sama, telah menyatakan sokongan terhadap pembelian helikopter serbaguna jarak jauh itu walaupun harganya lebih mahal berbanding beberapa model lain kerana ia bermutu tinggi dan berteknologi lebih canggih. Badrul berkata sekretariat berkenaan juga akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) selewat-lewatnya esok. Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamed Zulkarnain Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan laporan telah dibuat dan polis, katanya, akan menjalankan siasatan.

[Laporan polis sudah banyak kali dibuat termasuk kali ini. Namun apakah benar kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi mereka akan siasatan perkara tersebut. Masalahnya siasatan yang macam mana mahu dilakukan?. Apakah mereka pergi ke pejabat Najib di Putrajaya dan berjumpa Najib bertanya apakah beliau terlibat?. Maka Najib pun menjawab, beliau tidak terlibat dan laporan itu adalah palsu semata-mata yang bertujuan untuk menghancurkan karier politiknya. Maka polis pun balik buat kenyataan yang Najib sudah mengaku tidak terlibat dan tidak kenal pun Altantunya. Akhirnya mereka yang membuat laporan polis itu pula yang akan didakwa atas kesalah menfitnah. Inilah dia amalan biasa yang kita dengar sejak dulu, kini dan selamannya. Namun dalam kes ini, mungkin juga polis akan siasat secara telus. Sebabnya ialah macam apa yang kami dedahkan pasal kronologi Najib akan digagalkan jadi PM dalam artikel terdahulu, jelas menunjukkan memang ada jalan cerita seperti ini. Laporan demi laporan dibuat terhadap Najib. Kali ini akan disiasat, kerana Pak Lah akan bagi Najib cuti untuk kesnya itu nanti. Apapun nantikan sahaja perkembangan terkini isu ini. Mungkinkah "ada udang disebalik mee" agaknya?].

0 Comments: