Pemimpin UMNO Terlupa, Mereka Yang Buta Dan Telah Merubah Segala Fakta Sejarah !

24 October 2008

 Detikdaily | Lucu benar rasanya bila Pak Lah dan UMNO bercerita pasal Sejarah. Kononnya bagi menjawab isu "Kontrak Sosial" yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini. Tidak cukup dengan itu, bagi membolehkan perkara ini diberi perhatian mereka menggunaka Majlis Raja-Raja Melayu untuk memperkatakan tentang perkara ini.

Baru-baru ini Biro Pendidikan Pemuda UMNO mengesyorkan agar subjek Sejarah bukan sahaja dijadikan subjek wajib di peringkat sekolah rendah, malah ke peringkat menengah.

Pengerusinya, Ahmad Ikmal Ismail berkata langkah berkenaan untuk memastikan para pelajar yang merupakan bakal generasi negara akan datang mengetahui dengan lebih mendalam sejarah negara.

Menurut beliau apa yang penting ianya akan menjadi asas yang kukuh kepada para pelajar untuk menilai dan menghargai apa yang perlu dibuat untuk mencapai pembangunan dan keharmonian di negara ini. Syor Biro Pendidikan itu merupakan kelangsungan cadangan Perdana Menteri, Pak Lah Badawi yang mahukan subjek tersebut menjadi subjek wajib di peringkat sekolah rendah. Namun, kita tidak yakin apakah sejarah yang dibongkar itu adalah benar-benar sejarah atau pun segala faktanya dipesongkan megikut selera mereka. Inilah yang mereka mahukan sebenarnya. Beberapa fakta sebelum ini telah diubah antaranya ialah :-

Sejarah Pejuang Kemerdekaan Negara Diubah

Terasa malu pula bila Pak Lah mengajak rakyat supaya mengkaji semula Sejarah. Mereka lupa bahawa kerajaan UMNO dan Barisan Nasional adalah pihak yang bertanggungjawab merosakkan "Sejarah" di Malaysia. Ini jelas terbukti dengan beberapa tindakan "biadap" mereka dalam memberikan penerangan dan fakta Sejarah itu sendiri. Dalam subjek Sejarah di sekolah-sekolah misalnya, mereka kini lebih mengangung-agungkan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu daripada British dalam menuntut kemerdekaan. Pejuang seperti Onn Jaafar, Tunku Abd Rahman, Tun Razak serta lain-lain pemimpin UMNO sendiri. Sebaliknya nama-nama seperti Ibrahim Yaakob, Mokhtaruddin Lasso, Dr.Burhanuddin Helmi (foto), Ahmad Boestaman, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir serta ramai lagi terus dilupakan. Lebih parah lagi apabila TPM Najib sendiri pernah menyatakan bahawa kemerdekaan Malaysia dicapai tanpa sebarang "tumpah darah", walhal sebaliknya.

Bukankah ini jelas lari dari fakta sebenar. Walhal pejuang terdahulu yang terdiri daripada pahlawan Melayu seperti Tok Janggut, Tok Gajah, Mat Kilau (foto), Bahaman, Maharajalela. Mat Salleh, Dol Said dan ramai lagi telah dilupakan. Bukankah perjuangan mereka penuh dengan keringat dan tumpah darah. Namun bagi UMNO, pejuang sebenar ialah pemimpin mereka yang diberikan ikhsan kemerdekaan oleh British dengan syarat terus mengamalkan undang-undang mereka dalam sistem pentadbiran negera. Sejarah ini terbukti telah dipesongkan. Buku-buku Sejarah di sekolah telah diubah, bagi menunjukkan bahawa kemerdekaan negara dicapai secara diplomatik. Bukankah ini merupakan satu penipuan fakta sebenarnya. Kenapa semua fakta ini diubah? Kerana mereka menentang kerajaan selepas itu. Mereka menyokong gerakan Islam dan juga mahu menghalau penjajah British. Ini yang menyebabkan mereka dituduh pengkhianat !!

Sejarah Anwar Bersama UMNO Dilenyapkan

Paling bahaya juga ialah apabila sejarah Anwar dibuang dari UMNO. Ini jelas terbukti dan dapat dilihat pada laman web Pemuda UMNO. Mereka buang Sejarah Kegemilangan Anwar semasa dalam pemuda. Mereka mahu supaya generasi pemuda UMNO akan datang lupa bahawa Anwar itu adalah bekas Ketua Pemuda UMNO. Kami masih menyimpan bukti awal sebelum Sejarah itu dibuang (Mujurlah maklumat asal tersebut sempat kami cetak). Kini maklumat tentang kegemilangan Anwar semasa dalam UMNO terutamanya pergerakan parti itu sememangnya sudah diubah. Maklumat tentang fakta Anwar telah bertukar menjadi info tentang Syed Jaafar Albar dan bukan lagi diri beliau. Perubahan ini dilakukan setelah hampir beberapa bulan Anwar dipecat dari UMNO. Foto ialah semasa Anwar menang jawatan Ketua Pemuda UMNO dulu. Sila lihat bukti disini untuk kepastian Bab 4: Kegemilangan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Bukankah ini menujukkan bukti jelas bahawa mereka sebenarnya yang takut dengan sejarah. Mereka tidak mahu generasi akan datang melihat pejuang-pejuang terbabit sebagai orang yang bertanggungjawab untuk membela rakyat suatu ketika dulu. Mereka mahu supaya pemimpin UMNO yang dilihat berjasa kepada rakyat Malaysia. Justeru itulah mereka mahu tanamkan keyakinan dalam jiwa golongan muda tentang semangat kenegaraan, agar mereka melihat hanya UMNO dan BN sahaja yang telah membawa pembangunan dan layak memerintah negara ini. Lantaran itulah terwujudnya pusat latihan seperti Kem Bina Semangat, Kem Biro Tata Negara, Pusat Latihan Khidmat Negera dan macam-macam lagi, yang mana kesemuanya menjurus kepada semangat Nasionalisme. Nilai-nilau keagamaan tidak langsung diberi perhatian utama dalam kesemua modul yang dijalankan. Mereka tahu, jika jiwa dan rohani anak muda ini terdidik dengan nilai keagamaan, maka akhirnya golongan ini akan dapat melihat kebobrokan dan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan. Akhirnya golongan ini akan menyokong parti pembangkang. Ini telah berlaku dan dapat dilihat fenomenanya hari ini.

Sejarah UMNO Haram Telah Dilupuskan

Parti UMNO yang ada sekarang bukanlah parti yang telah ditubuhkan sebelum kemerdekaan dulu (1946). Tetapi parti UMNO yang ada sekarang pengasasnya ialah Mahathir Muhammad yang dibina pada tahun 1988 iaitu ketika perpecahan UMNO berlaku. Wujudnya Team A dan Team B, yang membawa kepada pertandingan hebat antara Ku Li dan Mahathir. Setelah berlaku pengiraan semula, akhirnya Mahathir menang dengan majoriti tipis. Ku Li akhirnya dipinggirkan dan menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46). Selepas itu UMNO diharamkan, dan didaftarkan semula atas nama UMNO (Baru). Namun masa berubah, akhirnya perkara ini diabaikan dan mereka kembali menyebut UMNO tanpa ada perkataan baru dibelakangnya.

Lebih aneh lagi mereka masih menyebut tentang UMNO itu lahir sejak tahun 46 dan mereka meraikan sambutan UMNO setiap tahun dengan mengambilkira dari tahun 1946. Ini bermakna sudah 62 tahun UMNO ditubuhkan. Walhal UMNO yang lama sudah berkubur, dan UMNO yang ada hari ini ialah UMNO baru yang masuk usianya baru menjangkau 20 tahun. Kenapakah fakta sejarah ini dinafikan. UMNO lama lebih dikagumi kerana perjuangannya benar-benar membela rakyat. Justeru itulah parti PAS pernah berada dalam BN kerana melihat kepimpinan yang ada pada masa itu adalah telus, adil dan saksama untuk seluruh rakyat.

Tapi, kepimpinan yang ada sekarang ini sudah jauh terpesong. Mereka bukan lagi berjuang untuk rakyat sebaliknya lebih kepada "periuk nasi" masing-masing. Wang rakyat dirompak sesuka hati untuk kepentingan peribadi. Agenda untuk rakyat hanyalah retorik setiap kali menjelang musim pilihanraya. Selepas itu mereka gagal bertindak membela nasib rakyat. Rakyat hanya digula-gulakan tatkala ingin berkuasa. Bila sudah berkuasa, rakyat diabaikan hanya sesekali mereka menjengok muka bagi menagih simapati. Justeru itulah rakyat Malaysia boleh membezakan pemimpin UMNO zaman dulu dengan sekarang. Mahu bezakan Najib Razak dengan Tun Razak atau Hishamuddin dengan Tun Hussein?. Memang jauh panggang dari api. Tapi jika bezakan Mahathir dengan Pak Lah, Mahathir dengan Najib maka jawapannya hampir sama. Saling tidak tumpah, bagai pelanduk dua serupa. Cuma bezanya Mahathir mengambil masa 22 tahun untuk merompak wang rakyat tapi Pak Lah hanya beberapa bulan sudah melakunnya. Maka sejarah inilah yang harus diingatikan kepada seluruh rakyat. Biar mereka tahu segalanya yang tersirat dan tersurat sebenarnya.
**Justeru itu, sebelum mengajar rakyat belajar balik subjek Sejarah maka puak-puak UMNO terlebih dahulu harus melihat balik sejarah. Ini bagi memberikan mereka keinsafan dan ikhtibar bahawa mereka juga sebenarnya sudah dipesongkan oleh sejarah yang mereka lalui sendiri. Maka itu jalan terbaik ialah kembali ke panggal jalan dan kita sama-sama teruskan agenda perubahan. Biar sejarah membuktikan kepada anak-anak cucu kita pada masa akan datang bahawa nenek moyang mereka adalah sama-sama berjuang untuk membela nasib rakyat sejak dulu, kini dan selamanya. Bukanlah hanya UMNO semata-mata !.

0 Comments: